Credit kepada mereka.
BOLEH dikatakan lagu Kekanda Adinda ketika ini kerap diputarkan di stesen-stesen radio. Namun pasti ramai yang tidak menyangka bahawa lagu tersebut telah dihasilkan sendiri oleh penyanyinya, Loque yang juga terkenal dengan grupnya, Monoloque.
Mengenai lagu ciptaannya itu, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annuar menjelaskan, predikat kekanda adinda sengaja dipilih kerana dia mahu menimbulkan rasa klasik dalam penggunaan banyak bahasa moden masa kini.
Jalan cerita lagunya pula, diangkat secara ringkas mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang berlainan latar gaya. Si isteri digambarkan mempunyai pangkat yang lebih tinggi berbanding suami - satu situasi yang bukan asing dalam sebuah perkahwinan masa kini.
Katanya: "Saya suka menggunakan bahasa klasik kerana tidak mahu ia tersisih. Jadi saya gunakan Kekanda Adinda sebagai judul lagu. Sementara kisah di sebalik lagu ini pula tiada kaitan dengan sesiapa. Saya menulis ia secara rambang dengan melihat situasi masa kini."
Menurut Loque lagi, mengikut perancangan, lagu Kekanda Adinda itu adalah lagu yang akan dimuatkan dalam album terbarunya yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun semuanya berubah dengan satu panggilan telefon.
"Tidak lama selepas terhasilnya lagu berkenaan, saya telah dihubungi oleh penulis skrip drama 8 Bulan yang meminta saya menghasilkan sebuah lagu runut bunyi untuk drama tersebut. Setelah diterangkan mengenai jalan ceritanya, barulah saya perasan lagu yang dihasilkan itu memang sesuai.
"Semasa menciptanya, saya telah rancang agar ia dijadikan sebagai sebuah lagu duet dan nama Atilia memang ada di fikiran saya memandangkan dia seorang penyanyi yang bagus. Malah, saya memang menyimpan hasrat untuk berduet dengannya dan ia akhirnya tercapai melalui lagu Kekanda Adinda," ujar Loque.
Semakin menjadi siulan ramai, Loque menyatakan rasa gembiranya di atas kejayaan lagu tersebut. Ujarnya, dia sendiri mulanya tidak menyangka lagu itu dapat diterima oleh pendengar dan kerap dimainkan di stesen-stesen radio popular.
"Ketika saya mula-mula mencipta lagu ini, saya tidak pernah terfikir pendengar akan menggemarinya. Kini, ia menjadi semakin popular dan berharap album yang akan saya terbitkan itu nanti turut digemari dan mendapat sambutan yang sama seperti lagu ini," ujarnya.
Sementara itu, Atilia juga turut berkongsi perasaan yang sama apabila gandingan sulungnya bersama Loque telah membuahkan hasil. Ujarnya, adalah satu penghormatan buat dirinya apabila diundang untuk berduet dengan pemuzik yang berbakat dan berkebolehan seperti Loque.
"Sebenarnya sejak dari dahulu lagi saya sering mendengar lagu-lagu kumpulan Butterfingers yang cukup dikenali di kalangan peminat muzik underground. Walaupun tidak begitu mengenali Loque dengan rapat, tetapi saya memang berkawan dengan isterinya.
"Kemudian sewaktu saya dihubungi Loque dan dia menyatakan hasratnya untuk mengundang saya berduet dalam lagu tersebut, saya terus bersetuju tanpa mengadakan sebarang perbincangan lanjut dengannya," ujar anak kepada penyanyi Salamiah Hassan itu.
Ketika ditanya pandangannya bekerjasama dengan Loque, Atilia melemparkan pujian kepada pasangannya duetnya itu dan menyifatkan Loque sebagai seorang pemuzik yang baik serta mempunyai visi dan misi tersendiri.
"Walaupun baru kali pertama bekerjasama dengannya, tetapi saya sangat berpuas hati kerana cara kerjanya yang cukup teratur dan dia banyak membantu supaya saya dapat bawakan lagu ini dengan baik. Untuk lagu ini, saya diberi tempoh seminggu berlatih sebelum menjalani proses rakaman," ujarnya.
Hikayat Halimunan Loque
Semenjak pulang dari Amerika Syarikat tahun lalu setelah empat tahun menuntut di sana, Loque memberitahu dia lebih banyak mencipta dan menghasilkan lirik lagu. Menariknya, dengan ilmu yang diperolehi itu Loque berpeluang membuka sebuah sekolah muzik yang dikenali sebagai Sekolah Baru Kuala Lumpur (SBKL) yang terletak di Bangsar serta mempunyai seramai 40 orang pelajar sekarang.
"Buat masa ini, saya sedang sibuk untuk menyiapkan album terbaru yang berjudulHikayat Halimunan Abad Ke-21. Dijangka album yang mengandungi enam buah lagu ini akan siap sepenuhnya dan bakal menemui peminat pada hujung tahun nanti.
"Istimewanya mengenai album terbaru saya ini, Hikayat Halimunan Abad Ke-21 adalah album trilogi yang mengandungi tiga sekuel. Untuk sekuel pertama ini, ia dikenali sebagai Jejak Tanah dan setiap lagu mempunyai jalan cerita antara satu sama lain. Lagu Kekanda Adinda juga turut dimuatkan dalam album tersebut," ujarnya.
Mengenai kumpulan Butterfingers yang kini sudah tidak lagi kedengaran dalam industri muzik tanah air, Loque menjelaskan kumpulan tersebut tidak berkubur walaupun vokalis utamanya, Emmet sudah berhijrah ke luar negara.
Menurut Loque, ahli-ahli Butterfingers yang lain seperti Kadak dan Loko masih lagi bersama dengannya dan turut terbabit dengan penghasilan album tersebut.
Indah Atilia
Selain popular dengan lagu Kekanda Adinda ketika ini, Atilia juga kini sedang sibuk mempromosikan album terbarunya yang berjudul Indah. Album yang telah dilancarkan pada bulan Jun lalu memuatkan 10 buah lagu yang berteraskan muzik jazz.
"Walaupun lagu Kekanda Adinda kerap diputarkan di corong radio, namun saya tetap berpuas hati kerana lagu-lagu di dalam album terbaru saya juga sering dimainkan oleh stesen radio. Antaranya seperti lagu berjudul Indah yang merupakan single pertama yang dimuatkan dalam album tersebut.
"Alhamdulillah, semenjak album Indah dilancarkan juga, dari semasa ke semasa rezeki saya semakin bertambah apabila semakin banyak mendapat undangan membuat persembahan. Harapan saya agar album ini dapat diterima ramai kerana saya sudah melakukan yang terbaik," ujarnya.
Rentetan daripada kejayaan lagu Kekanda Adinda, Atilia memberitahu dia tidak akan menolak untuk bekerjasama atau berduet dengan Loque pada masa hadapan. Walaupun dikenali sebagai penyanyi jazz, ujar Atilia, dia juga sebenarnya mampu untuk membawa lagu-lagu berentak lain seperti yang telah dibuktikan melalui lagu tersebut.
4 comments:
wah.ngs2..
dulu mule2 dgr cam x best.
tp lame2 dah suke lak ;)
first time dengar, memang dah best. siap buat ringtone lagi. ;)
kekanda rafik
=)
Kekanda Hazzy. :)
Post a Comment